Satu Janji
Akhirnya jumpa juga buku ini dalam Goodreads. Ingatkan tidak ada (sebenarnya ada tetapi saya tersalah taip tajuk buku dalam pencarian Goodreads). Buku ini saya baca beberapa tahun yang lalu dan serius, sangat bagus. Inilah novel Bahasa Melayu paling saya suka. Walaupun bertahun-tahun sudah, saya masih ingat lagi cerita ini dan sebab itulah saya membuat ulasan tentang buku ini.Cerita ini mengisahkan seorang lelaki bernama Luqman dengan janji-janjinya dan dia amat mencintai seorang wanita yang bernama Adelia. Luqman ialah anak yatim piatu tetapi mempunyai keluarga angkat yang sangat baik. Akan tetapi, kedua ibu bapa angkatnya telah meninggal. Untuk memikat dan menawan hati Adelia, Luqman yang sebenarnya merupakan orang kaya dan mempunyai sebuah syarikat sanggup bekerja di kedai makan Adelia sebagai pembuat roti canai. Sebelum dia bekerja di kedai makan Adelia, Luqman terlebih dahulu belajar cara membuat roti canai dengan salah seorang pekerja Adelia tetapi dengan syarat, identiti Luqman harus dirahsiakan sebab Luqman tidak mahu Adelia menyukai dan mencintai dia demi harta. Luqman inginkan Adelia untuk mencintai dia kerana hati dan budi Luqman. Cara-cara membuat roti canai ini bukanlah senangnya. Ada sebahagian babak daripada buku ini sangat lucu dan membuatkan saya ketawa.
Oleh disebabkan keluarga Adelia mahu Adelia berkahwin, Luqman pun tahu tentang perihal tersebut, dia berhasrat untuk melamar Adelia. Adelia pula tidak mahu sebab dia tidak cinta kepada Luqman sebab Adelia masih mencintai lelaki lain (terlupa apa pula nama lelaki itu). Adalah syarat, janji dan tempoh semasa hendak melamar Adelia tetapi yang saya pasti, lelaki yang Adelia cintai itu tidak datang juga. Akhirnya, Adelia terpaksa menerima Luqman dan menjadi isterinya. Semasa mereka berdua ini menjadi suami isteri, Adelia memang benci dan sakit hati dengan Luqman. Kasihan Luqman. Akan tetapi penghujungnya, Adelia membalas cinta Luqman. Selain daripada kisah tentang Adelia dan Luqman, ada kisah tentang ibu dan adik kandung Luqman, kes pembunuhan yang melibatkan ayah angkat Luqman dan syarikat yang sekarang diwarisi Luqman.
Secara keseluruhan, buku ini tersangatlah bagus dan indah. Kalau saya nak baca lagi buku ini pun tidak masalah ini. Minta maaf kalau Bahasa Melayu saya ini pelik sebab sudah berkarat. Apa-apa pun, saya mencadangkan kamu semua untuk membaca buku ini!